Di dalam sebuah wad hospital, tinggal 2 orang lelaki yang berkongsi sebuah bilik yang sama. Kedua-duanya menghidapi penyakit yang serius dan terpaksa berbaring sepanjang hari. Salah seorang daripadanya dibenarkan duduk di atas katil selama sejam pada setiap hari bagi membantu pengaliran cecair daripada peparunya. Katilnya terletak bersebelahan jendela yang terdapat di dalam bilik tersebut. Pesakit yang seorang lagi pula, terpaksa berbaring di atas katil pada sepanjang masa. Bagi mengisi masa yang terluang, mereka berdua sering berbual tentang keluarga, kerja dan kehidupan seharian. Dan pada setiap kali lelaki yang duduk bersebelahan jendela tersebut melihat kearah luar, dia akan bercerita kepada teman sebiliknya tentang setiap keindahan yang dapat dilihatnya di luar bilik tersebut. Teman sebiliknya pula mula berasa bahagia dengan setiap keindahan yang diceritakan oleh rakannya itu, meskipun pandangan tersebut hanya dapat dilihat dalam tempoh 1 jam.
Lelaki tersebut mula membayangkan suasana yang digambarkan oleh rakannya itu. Sebuah tasik yang sangat indah ditemani oleh sekumpulan itik yang berenang-renang, burung-burung menyanyi girang, kanak-kanak berkejar-kejaran. Pohon yang rendang, rumput yang menghijau, dan bunga-bunga yang mekar bertambah serinya di kala pelangi yang berwarna-warni mula menghiasi langit yang biru, luas terbentang. Ketika lelaki tersebut menceritakan suasana yang indah itu, temannya memejamkan matanya sambil membayangkan dan berimaginasi akan suasana yang digambarkan itu.
Pada suatu tengahari yang dingin, lelaki yang duduk bersebelahan jendela tersebut memberitahu bahawa terdapat sepasukan pancaragam sedang melintas di hadapan hospital. Meskipun lelaki yang terbaring itu tidak mendengar sebarang bunyi daripada pencaragam tersebut, dia masih cuba membayangkan pandangan tersebut. Tiba-tiba, tanpa diduga, rasa kurang senang timbul dalam fikiran lelaki yang terbaring itu. Kenapa dia seorang saja yang dapat menikmati semua keindahan itu sedangkan aku tidak dapat melihat apa-apa pun? Ini tidak adil! Pada mulanya, lelaki tersebut berasa malu dengan apa yang telah difikirkannya. Namun, hari demi hari berlalu dan dia belum berpeluang melihat keindahan itu lagi. Perasaan cemburu mulalah berubah menjadi amarah, dan seterusnya menjadikannya seorang yang mudah bermasam muka. Dia mula mengeluh dan lama-kelamaan, dia mula sedar yang dia sukar untuk tidur kerana asyik memikirkan hal itu. Keinginan untuk memiliki katil di sebelah jendela itu mulai menguasai fikirannya.
Pada lewat suatu malam, ketika dia sedang merenung ke siling, lelaki yang bersebelahan jendela itu mulai batuk. Lelaki itu kelihatan seperti sukar bernafas disebabkan oleh cecair dalam peparunya. Lelaki yang terbaring itu hanya melihat temannya yang sedang bertungkus-lumus berusaha untuk menekan butang kecemasan bagi memanggil doktor. Namun, lelaki yang terbaring itu tidak memberikan sebarang bantuan walaupun dia mampu untuk menekan butang di katilnya sendiri. Selepas lima minit batuk itu berhenti, lelaki itu turut berhenti bernafas. Ruangan bilik itu menjadi sunyi dan yang kedengaran, hanyalah sunyi sebuah kematian.
Keesokan paginya, jururawat tiba di bilik itu bagi menjalankan rutin hariannya. Apabila dilihatnya sekujur tubuh yang lesu di katil bersebelahan jendela itu, dia terus meminta attendant untuk menguruskan jenazah tersebut. Setelah dirasakan masa yang sesuai telah tiba, lelaki yang terbaring itu bertanya kepada jururawat tersebut sekiranya dia boleh dipindahkan ke katil bersebelahan jendela itu. Jururawat bersetuju untuk memindahkannya. Dengan penuh kesakitan, lelaki itu cuba untuk bangun dan melihat suasana dari jendela di sebelah katilnya itu. Apa yang dapat dilihatnya hanyalah sebuah dinding kosong. Tiada pemandangan yang indah seperti yang digambarkan rakannya sebelum ini. Dia segera bertanya kepada jururawat dan menceritakan suasan yang digambarkan oleh rakannya itu. Jururawat itu menjawab dengan perlahan bahawa lelaki yang meninggal itu adalah buta. Mungkin setiap pemandangan indah yang diceritakannya itu hanyalah untuk menenangkan dan membahagiakan hati lelaki itu…
Kesimpulannya, kegembiraan hanya mampu kita kecapi sekiranya kita berusaha untuk membahagiakan orang lain, meskipun apabila kita sedang berada dalam kesedihan dan serba kekurangan. Kesedihan yang dikongsi mampu mengurangkan sebahagian daripada kedukaan, tetapi kegembiraan yang dikongsi, akan berganda nikmatnya.
HOME
:a
:b
:c
:d
:e
:f
:g
:h
:i
:j
:k
:l
:m
:n
:p
:q
:r
:s
:t 


Sumber: http://note.alzafiles.com/2012/04/pasang-emoticon-kucing-di-komentar.html#ixzz24EU7OxDK