aa

04 August 2012

Aku Datang Hanya Untuk Mencabut Nyawa




“Beta hendak mengembara ke sebuah tempat. Sediakan persiapan dan pakaian beta yang cantik-cantik,” arah seorang raja kepada orang suruhannya.

Tidak lama selepas itu, segala kelengkapan sudah disiapkan. Hanya menanti raja datang memilih pakaian sahaja. Setelah mencuba beberapa helai persalinan, satu pun tidak berkenan di hati raja padahal pakaian itu kesemuanya cantik-cantik belaka. Namun, selepas puas memilih dan mencuba, raja itu memakai pakaian yang paling mahal sekali. Begitu juga dengan kenderaannya. Raja ini mempunyai selera yang tinggi dan amat cerewet. Jika boleh, segala miliknya harus sempurna tanpa cacat cela.

Dengan senyum yang meleret-leret, raja itu pun bersedia untuk berangkat. Ketika itu, datanglah iblis menghembuskan lubang hidungnya dengan ‘anasir’ sombong. Raja pun terpengaruh. Rasa riak dan sombong menguasai hatinya. Pada fikiran raja, dialah yang paling berkuasa dan apa saja yang dikehendakinya pasti boleh diperoleh dengan mudah. 
Di tengah perjalanan, raja terserempak dengan seorang lelaki. Dengan senyuman yang ramah, lelaki itu memberi salam. Malang, ucapan salam itu tidak diendahkan langsung oleh raja yang angkuh. Baginya rakyat biasa seperti lelaki itu tidak layak menyapa seorang raja yang mulia sepertinya.

Lelaki itu terus memegang tali kuda yang dinaiki raja dengan kuat sehingga ia terhenti.
“Lepaskan tali kuda ini, engkau sudah melampau,” jerkah raja dengan marah.
“Aku ini ada hajat yang hendak aku sampaikan kepadamu sekarang,” ujar lelaki itu tenang.
“Nanti, tunggulah aku turun dari kuda ini dahulu,” jawab raja.
“Tidak, tidak boleh tuan, aku mesti menyampaikannya sekarang juga,” jelas lelaki itu.
Lelaki itu tetap berkeras ingin menyampaikan hajatnya walaupun raja masih tidak turun dari kuda. Akhirnya raja mengalah dan bertanya,

“Wahai lelaki, sekarang katakan apakah keperluan dan hajatmu itu.”

“Ini adalah rahsia.”

Raja pun mendekatkan telinganya dan lelaki itu berbisik, “Aku adalah malaikat maut.”
Mendengar saja kata-kata lelaki itu, gementarlah seluruh anggota raja. Tahulah dia, ajalnya sudah hampir tiba. Lemah tubuhnya sehingga dia hampir terjatuh dari kuda.

“Wahai malaikat maut, tinggalkan aku buat seketika kerana aku ingin kembali pada keluargaku. Setelah selesai melihat mereka, aku berjanji akan kembali padamu,” pinta raja.

“Tidak, Demi Allah! Engkau tidak akan dapat melihat keluargamu dan kelengkapan perjalananmu buat selama-lamanya. Aku ini hanya datang untuk mencabut nyawa,” jawab malaikat maut.

Selesai berkata demikian, malaikat maut terus mengambil nyawa raja. Tidak ada lagi soal jawab dan hari itu, seorang raja yang megah akhirnya terpaksa akur dengan takdirnya.
Kisah ini diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih.




Comments
0 Comments

No comments:

Pe agi...comment lerh....ngeh3..

Post a Comment

:a   :b   :c   :d   :e   :f   :g   :h   :i   :j   :k   :l   :m   :n     :p   :q   :r   :s   :t Add smileys to Blogger +

Pe agi...comment lerh....ngeh3..

Sumber: http://note.alzafiles.com/2012/04/pasang-emoticon-kucing-di-komentar.html#ixzz24EU7OxDK